Kenduri Berkhatan, Tahlil & Sendawa Durian

Catatan Balik Kampung: Kenduri, Tahlil & Pulut Durian

25 Disember 2025 (Khamis), awal pagi — lebih kurang 1 pagi, Shida sekeluarga memulakan perjalanan balik kampung. Setelah bertukar pemandu, Shida & suami kecundang di Gunung Semanggol - mata tak mampu bertahan. Kami berhenti rehat dan tidur dalam kereta hingga jam 7 pagi. Perjalanan disambung, dan tiba di kampung jam 9 pagi.



Sempat melepas lelah sebelum bersiap untuk merewang pula. Kupas bawang, potong sayur, tumis gulai, semua dilakukan bersama adik-beradik yang lain. Meriah suasana dapur sampai ke lewat malam. Penat, tapi seronok. Ada pelbagai kisah untuk dikenang. 

Keesokkan hari (Jumaat), berlangsungnya kenduri berkhatan & tahlil arwah ayah. Kaum wanita dijamu lebih awal sebelum solat Jumaat — strategi elak keadaan berebut antara lelaki & wanita. Lepas solat, barulah kaum lelaki datang ke rumah untuk tahlil dan menjamu selera.

Juadah kenduri? Fuhh, mewah dan pelbagai:
Gulai daging, sayur keladi, siakap masak asam, acar, ikan masam, sambal belacan + cicahnya, ABC, laksa, puding & agar-agar, kuih-muih, bubur kacang hijau, buah-buahan, dan air sirap. Penuh meja, penuh hati.




Sebelum bertolak pulang (Sabtu malam), makcik & maknjang sempat menjemput kami menjamu selera di kediaman mereka - pulut durian. Setelah selesai sesi menjamu selera, kami mulakan perjalanan untuk pulang ke sarang — dan sepanjang perjalanan, bukan lagu saja yang berkumandang… sendawa durian pun bersahut-sahutan.


Alhamdulillah, kami selamat tiba di rumah pada 5 pagi, 28 Disember (Ahad). Letih, tapi puas. Bukan sekadar balik kampung — ini balik jiwa. 

Post a Comment

Next Post Previous Post