Tragedi Januari 2025 (part 2)

Berikutan kejadian yang telah menimpa emak dan ayah pada 03.01.25 iaitu pagi Jumaat yang lalu. Telah mengubahkan kehidupan kami sekeluarga. Entri sebelum ini.

https://shidasaad.blogspot.com/2025/01/tragedi-januari-2025.html

08.01.25, selepas lapan hari emak dipantau rapi oleh pakar otak di dalam wad, kerana pendarahan di kepala berkemungkinan akan menyebabkan sawan. Akhirnya emak dibenarkan pulang ke rumah. Walau bagaimanapun, siapa sangka ujian yang kami hadapi masih belum selesai.



Pada hari kedua emak di rumah, kami tiga beradik membawa beliau untuk membuka jahitan luka. Namun, Klinik Kesihatan (KK) tidak menerima kes pada hari Jumaat, jadi kami mengambil keputusan untuk ke Klinik Mahkota. Setelah melihat keadaan emak yang kelihatan lesu dan tidak bermaya, doktor segera menyarankan agar beliau dibawa ke bahagian kecemasan. Setibanya di sana, emak dimasukkan ke zon kuning dan pada malam yang sama, beliau dimasukkan ke wad kerana kekurangan gula dan garam dalam darah. Ya Allah, sesungguhnya Shida, adik dan maknjang sentiasa bagi emak makan tanpa gagal. Namun emak selalu makan sikit.

Alhamdulillah, pada 10.0125, emak telah discaj sekali lagi. Kami bersyukur kerana tahap kesihatannya semakin pulih. Apa sahaja makanan kini tidak lagi dipantang, termasuk makanan manis, demi memastikan tenaga beliau kembali seperti sediakala. Kami sangat berterima kasih atas nikmat kesihatan yang semakin membaik ini.


Hari ini, genap 14 hari selepas kemalangan itu berlaku. Tahap kesihatan emak semakin baik, dan beliau telah mula mengingati beberapa perkara. Namun, masih ada perkara yang samar dalam ingatan beliau. Kami terus memberikan sokongan moral dan fizikal agar emak dapat pulih sepenuhnya.


Di sebalik semua ini, kami berasa kecewa dengan tindakan pemandu perempuan yang melanggar emak dan ayah. Difahamkan, beliau sedang memegang telefon ketika memandu, yang mungkin menjadi punca kemalangan tersebut. Lebih mengecewakan, pemandu tersebut kini mendiamkan diri selepas mengetahui adanya saksi kejadian. Kami hanya berharap agar keadilan dapat ditegakkan dan kejadian seperti ini tidak berulang.


Sebagai keluarga, kami mengambil kejadian ini sebagai satu ujian dan peringatan untuk lebih berhati-hati di jalan raya. Kami juga ingin menyeru kepada semua agar menjadikan keselamatan sebagai keutamaan ketika memandu. Jangan sesekali memegang telefon atau melakukan perkara yang boleh mengganggu fokus anda.

Kami sekeluarga akan terus berdoa untuk kesihatan emak dan berharap agar beliau dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Kepada pembaca, jadikanlah kisah ini sebagai pengajaran dan sentiasa ingat bahawa kecuaian sekecil apa pun boleh memberi kesan besar kepada orang lain. Sama-sama kita jaga keselamatan di jalan raya

Post a Comment

Next Post Previous Post